Friday 24 October 2014

Tahun Baru 2014

Tahun baru muncul kembali. Kali ini giliran tahun genap pula, 2014. Ia menandakan semakin singkat umur kita, jika dikira dari tarikh mati kita yang tidak kita ketahui. Seandainya setiap manusia tahu tarikh mati masing-masing, nescaya tiada yang ingin bersusah payah berpusu-pusu dalam kesibukan jalan raya yang hebat, untuk meraikan detik 12 malam, walhal untuk mengucapkan ucapan “Selamat Tahun Baru” juga akan menjadi keberatan dan tiada mood. Kenapa? Kerana pasti masing-masing takut dan risau dengan umur yang semakin kurang, berkadaran langsung dengan amalan yang kurang juga. Melainkan jika amalan diri semakin meningkat, berbanding dengan tahun-tahun yang sebelumnya. Itupun mereka yang beriman, hati senantiasa risau samada amalan-amalan tersebut akan diterima Allah SWT atau tidak. Doa perlu dipanjatkan, yg terkandung di dalamnya harapan agar amalan-amalan kita di terima Allah SWT. Sesungguhnya, Dia lah Yang Maha Pemurah, lagi Maha mengasihani. Ianya suatu keyakinan yang harus ada dalam diri, dalam setiap insan mukmin.

Kali ini, saya dan keluarga hanya berada di rumah kami di Bandar Universiti, semasa hari-hari terakhir tahun 2013. Alhamdulillah, tiada perasaan untuk keluar bersama meraikan sambutan tahun baru. Sekadar mengetahui ada beberapa acara sambutan yang akan diadakan di kawasan perniagaan Sri Iskandar melalui banting-banting yang bertaburan sepanjang jalan sebagai mempromosikan acara tersebut. Yang pasti, akan ada pertunjukan bunga api, yang jika betul ada, ianya boleh dilihat dengan jelas dari kawasan perumahan kami. Cukuplah, sekadar menceriakan anak-anak jika ada yang mahu melihat. Itupun jika mampu menunggu hingga 12 tgh malam. 

Saya tertarik dengan status facebook seorang rakan yang bertulis “ ramai yang tanya di mana saya menyambut tahun baru, saya menjawab; saya sudah banyak kali menyambut tahun baru sepanjang hidup saya. Semalam saya tidur pukul 9 malam, dan bangun pukul 4 pagi sembahyang”.  Ianya sesuatu yang terkesan di hati. Tanpa berfikir dua kali, status tersebut terus saya ‘Like’, disusuli dengan senyum berseorangan.

Jam menunjukkan pukul 12 tgh malam. Anak kami, Faheem dan Nuha masih segar bermain dan berlari sana sini dalam rumah. Tetiba kedengaran bunyi dentuman bunga api di kejauhan, tetapi tetap jelas kedengaran. Kelihatan cahaya merah dan kuning menyinari langit malam, dari kejauhan sejurus selepas kami keluar ke halaman. Namun, percikan bunga api terlindung disebalik deretan rumah dua tingkat di hadapan rumah kami. Untuk melegakan rengekan berterusan dari Faheem dan Nuha yang begitu konsisten mengajak saya untuk keluar kedepan sedikit supaya kelihatan cahaya percikan bunga api, saya gagahkan juga untuk mnghidupkan enjin motor Honda Wave 100 saya. Dengar sahaja enjin motor, keduanya berteriak kegembiraan. Kedua mereka saya angkut sahaja dengan motor dan terus ke jalan yg menghadap ke tempat bunga api dimainkan. Mujurlah anak kami yg paling kecil, Nida Sofia sudah nyenyak dibuai mimpi. Kalau tak, pasti tiga orang sekali kena 'angkut' pergi. Hehe. Dentuman masih berterusan, dan kelihatan jelas bunga api dari Sri Iskandar, 1 km jaraknya dari taman perumahan kami. Ianya perasaan biasa biasa sahaja untuk saya melihat percikan bunga api, tetapi untuk anak-anak kecil ianya sebaliknya. Mereka begitu teruja melihat dan mendengar dentuman-dentuman bunga api yang mertebaran di angkasa. Terbayang kepuasan di muka keduanya.

Tahun 2013 berlalu pergi dengan pelbagai kenangan manis dan pahit. Yang nyata, ianya tidak berlalu umpama debu yang berterbangan. Sebagai orang Islam, segala apa yang dikerjakan sepanjang tahun dan waktu-waktu terdahulu, samada yang baik atau buruk, pastinya tercatat rapi dalam buku amalan masing-masing. Jika berat amal kebaikan yang dilakukan, maka janji Allah SWT kepada hamba-Nya adalah syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai. Dan mereka kekal di dalamnya. Manakala, jika berat keburukan dalam buku amalan tersebut, maka mengikut aturan, nerakalah tempatnya. Wana’uzubillahi. Namun, peluang senantisa ada untuk kita memadamkan segala tulisan keburukan yang pernah dicatatkan dalam buku amalan kita. Ianya mampu dilakukan melalui amalan taubat. Taubat nasuhah. Taubat yang benar-benar lahir dari hati dengan seribu penyesalan terhadap segala keterlanjuran yang pernah dilakukan dan berazam sepenuh hati untuk tidak mengulangi dosa tersebut lagi.  Sungguh, Allah Maha pengampun lagi Maha mengasihani.

Lembaran 2014 bakal mencatatkan sesuatu yang baru. Moga kita berusaha untuk mencatat amalan yang terbaik pada tahun ini, dan semoga ianya dikira dan diterima Allah SWT yang akan membantu kita pada hari Perbicaraan kelak. Ya Allah, aku pohon keredhaan-Mu. Berilah kekuatan kepada kami sekeluarga untuk menjadi Muslim yang lebih baik dari tahun-tahun yang sebelumnya.

Gambar di kawasan Taman Botani, Perak semasa perjalanan pulang dar Ipoh ke rumah pada minggu terakhir tahun 2013.

Farris
Bandar Universiti
01.01.2014

No comments:

Post a Comment