Tahun baru muncul kembali. Kali ini giliran tahun genap
pula, 2014. Ia menandakan semakin singkat umur kita, jika dikira dari tarikh
mati kita yang tidak kita ketahui. Seandainya setiap manusia tahu tarikh mati
masing-masing, nescaya tiada yang ingin bersusah payah berpusu-pusu dalam
kesibukan jalan raya yang hebat, untuk meraikan detik 12 malam, walhal untuk
mengucapkan ucapan “Selamat Tahun Baru” juga akan menjadi keberatan dan tiada
mood. Kenapa? Kerana pasti masing-masing takut dan risau dengan umur yang
semakin kurang, berkadaran langsung dengan amalan yang kurang juga. Melainkan
jika amalan diri semakin meningkat, berbanding dengan tahun-tahun yang
sebelumnya. Itupun mereka yang beriman, hati senantiasa risau samada
amalan-amalan tersebut akan diterima Allah SWT atau tidak. Doa perlu
dipanjatkan, yg terkandung di dalamnya harapan agar amalan-amalan kita di
terima Allah SWT. Sesungguhnya, Dia lah Yang Maha Pemurah, lagi Maha
mengasihani. Ianya suatu keyakinan yang harus ada dalam diri, dalam setiap
insan mukmin.
Kali ini, saya dan keluarga hanya berada di rumah kami di
Bandar Universiti, semasa hari-hari terakhir tahun 2013. Alhamdulillah, tiada
perasaan untuk keluar bersama meraikan sambutan tahun baru. Sekadar mengetahui
ada beberapa acara sambutan yang akan diadakan di kawasan perniagaan Sri
Iskandar melalui banting-banting yang bertaburan sepanjang jalan sebagai
mempromosikan acara tersebut. Yang pasti, akan ada pertunjukan bunga api, yang
jika betul ada, ianya boleh dilihat dengan jelas dari kawasan perumahan kami.
Cukuplah, sekadar menceriakan anak-anak jika ada yang mahu melihat. Itupun jika
mampu menunggu hingga 12 tgh malam.
Saya tertarik dengan status facebook seorang rakan yang
bertulis “ ramai yang tanya di mana saya menyambut tahun baru, saya menjawab;
saya sudah banyak kali menyambut tahun baru sepanjang hidup saya. Semalam saya
tidur pukul 9 malam, dan bangun pukul 4 pagi sembahyang”. Ianya sesuatu yang terkesan di hati. Tanpa
berfikir dua kali, status tersebut terus saya ‘Like’, disusuli dengan senyum
berseorangan.
Jam
menunjukkan pukul 12 tgh malam. Anak kami, Faheem dan
Nuha masih segar bermain dan berlari sana sini dalam rumah. Tetiba
kedengaran
bunyi dentuman bunga api di kejauhan, tetapi tetap jelas kedengaran.
Kelihatan
cahaya merah dan kuning menyinari langit malam, dari kejauhan sejurus
selepas
kami keluar ke halaman. Namun, percikan bunga api terlindung disebalik
deretan
rumah dua tingkat di hadapan rumah kami. Untuk melegakan rengekan
berterusan
dari Faheem dan Nuha yang begitu konsisten mengajak saya untuk keluar
kedepan
sedikit supaya kelihatan cahaya percikan bunga api, saya gagahkan juga
untuk
mnghidupkan enjin motor Honda Wave 100 saya. Dengar sahaja enjin motor,
keduanya berteriak kegembiraan. Kedua mereka saya angkut sahaja dengan
motor
dan terus ke jalan yg menghadap ke tempat bunga api dimainkan. Mujurlah
anak kami yg paling kecil, Nida Sofia sudah nyenyak dibuai mimpi. Kalau
tak, pasti tiga orang sekali kena 'angkut' pergi. Hehe. Dentuman masih
berterusan, dan kelihatan jelas bunga api dari Sri Iskandar, 1 km
jaraknya dari
taman perumahan kami. Ianya perasaan biasa biasa sahaja untuk saya
melihat
percikan bunga api, tetapi untuk anak-anak kecil ianya sebaliknya.
Mereka begitu
teruja melihat dan mendengar dentuman-dentuman bunga api yang mertebaran
di
angkasa. Terbayang kepuasan di muka keduanya.
Tahun 2013 berlalu pergi dengan pelbagai kenangan manis dan
pahit. Yang nyata, ianya tidak berlalu umpama debu yang berterbangan. Sebagai
orang Islam, segala apa yang dikerjakan sepanjang tahun dan waktu-waktu
terdahulu, samada yang baik atau buruk, pastinya tercatat rapi dalam buku
amalan masing-masing. Jika berat amal kebaikan yang dilakukan, maka janji Allah
SWT kepada hamba-Nya adalah syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai. Dan
mereka kekal di dalamnya. Manakala, jika berat keburukan dalam buku amalan
tersebut, maka mengikut aturan, nerakalah tempatnya. Wana’uzubillahi. Namun,
peluang senantisa ada untuk kita memadamkan segala tulisan keburukan yang
pernah dicatatkan dalam buku amalan kita. Ianya mampu dilakukan melalui amalan
taubat. Taubat nasuhah. Taubat yang benar-benar lahir dari hati dengan seribu
penyesalan terhadap segala keterlanjuran yang pernah dilakukan dan berazam
sepenuh hati untuk tidak mengulangi dosa tersebut lagi. Sungguh, Allah Maha pengampun lagi Maha
mengasihani.
Lembaran
2014 bakal mencatatkan sesuatu yang baru. Moga kita
berusaha untuk mencatat amalan yang terbaik pada tahun ini, dan semoga
ianya
dikira dan diterima Allah SWT yang akan membantu kita pada hari
Perbicaraan
kelak. Ya Allah, aku pohon keredhaan-Mu. Berilah kekuatan kepada kami
sekeluarga untuk menjadi Muslim yang lebih baik dari tahun-tahun yang
sebelumnya.
 |
Gambar di kawasan Taman Botani, Perak semasa perjalanan pulang dar Ipoh ke rumah pada minggu terakhir tahun 2013. |
Farris
Bandar Universiti
01.01.2014